Pengikut

Jumaat, Ogos 07, 2009

Hilang kata, hilang bahasa

Kali ini agak malas nak fikir, lalu saya ingin menyentuh beberapa hal yang termuat dalam tulisan Saudara Zin Mahmud "Hilang kata, hilang bahasa" yang tersiar di akhbar Mingguan Malaysia, 2 Ogos 2009 lalu. Pokok persoalan yang menjadi intipati tulisan beliau pernah saya sentuh dalam tulisan saya di blog ini. Untuk berlaku adil dan bertujuan memberikan manfaat kepada semua pembaca, saya siarkan sepenuhnya tulisan Sdr. Zin Mahmud.
Apabila menyebut Singapura, berapa ramai di kalangan kita yang menyebut Singapura, dan bukannya Singapore? Dalam perbualan hampir pasti orang menyebut Singapore dan bukannya Singapura ketika merujuk kepada pulau itu.
Apabila ditulis, ia menjadi Singapura. Tetapi apabila disebut, ia menjadi Singapore. Sedangkan perkataan Melayu bagi pulau itu adalah Singapura, dan bukannya Singapore. Asal namanya juga Singapura, hanya penjajah Inggeris yang mencipta perkataan Singapore.
Begitu juga dengan Pulau Pinang. Berapa ramai daripada kita yang menyebut Pulau Pinang untuk merujuk pulau itu. Selalunya perkataan yang digunakan ialah Penang. Sungguhpun begitu dalam tulisan, Singapura dan Pulau Pinang tetap digunakan menyebabkan nama-nama asal pulau itu kekal.
Tetapi banyak perkataan bahasa Melayu yang semakin pupus dan digantikan dengan perkataan Barat yang sudah dimelayukan. Tidak salah, tetapi bayangkan akhirnya perkataan-perkataan Melayu yang asal itu akan pupus, sekali gus keindahan kata-kata itu.
Adalah dapat diterima bahawa jika dalam bahasa Melayu tidak ada sesuatu istilah bagi merujuk sesuatu perkara, maka wajar mengambil perkataan Inggeris yang dimelayukan. Tetapi apa yang berlaku ialah perkataan Inggeris diambil sedangkan terdapat istilah Melayu yang bukan saja sudah mantap, tetapi juga indah.
Contoh menarik ialah nama tiga penyakit ini, iaitu barah, kencing manis dan angin ahmar. Istilah ini sudah mantap. Ia juga menunjukkan bahawa penyakit itu sudah lama diketahui oleh orang Melayu. Selain itu, namanya lebih serasi dengan pemahaman mengenai penyakit itu.
Tetapi kini ia telah digantikan dengan kanser, diabetes dan strok. Istilah kaku bagi lidah Melayu. Tamadun Melayu adalah panjang dan mempunyai keunggulannya tersendiri yang tercermin daripada perkataan-perkataan yang dimilikinya.
Apabila perkataan-perkataan Melayu ini sedikit demi sedikit ditinggalkan, maka ia menjadi pupus. Dan akhirnya bahasa Melayu berjati diri akan pupus, dan di atasnya lahirlah bahasa yang sudah jauh daripada asalnya. Orang Melayu pada masa depan tidak akan berasa kehebatan bahasanya kerana didapati perkataan-perkataan yang ada kebanyakannya merupakan saduran daripada Inggeris.
Sebagai contoh tentang ilmu kelautan. Orang Melayu jauh lebih lama berkecimpung dalam dunia kesamuderaan. Kapal-kapal orang Melayu sudah meredah Lautan Hindi dan Lautan Pasifik, yang dikenali juga sebagai Lautan Teduh lama sebelum orang Inggeris pandai belayar.

Maka tidak hairanlah pulau Madagascar di Afrika itu didiami oleh bangsa rumpun Melayu, Malagasy yang meredah lautan lama pada zaman sebelum kedatangan agama Hindu lagi. Bukan saja kerana orang Melayu mendiami pulau-pulau Nusantara yang menyebabkan keadaan demikian, tetapi teknologi laut orang Melayu dulu sudah mencapai tahap yang membanggakan. Maka tidak hairanlah bahasa Melayu kaya dengan perkataan-perkataan yang berkaitan dengan laut.
Nakhoda dan juragan adalah antara perkataan Melayu. Namun begitu, perkataan-perkataan ini semakin lama terpupus kerana orang Melayu sudah merosot dalam dunia kelautan. Maka tidak hairanlah kalau dahulu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kelihatan dibanggakan, tetapi kini kenderaan-kenderaan mereka memaparkan perkataan Navy. Kenapa perlu digunakan perkataan Navy?
Orang juga sudah mula banyak menggunakan perkataan maritim, suatu istilah merujuk kepada laut. Sementara istilah seperti samudera sudah kian dilupakan.
Semangat untuk mempertahankan istilah-istilah tulen Melayu dicap sebagai language purist atau pejuang ketulenan bahasa. Ia mempunyai konotasi negatif dengan gambaran seolah-olah pendokong ketulenan bahasa ini menolak istilah-istilah baru yang diambil daripada bahasa Inggeris. Sedangkan semua termaklum bahawa sifat bahasa adalah berbentuk berkembang. Perkataan-perkataan diambil daripada pelbagai sumber bahasa. Jadi pendokong ketulenan bahasa ini dipandang serong seolah-olah bersifat mundur dan enggan berkembang.
Tetapi itu tidak benar. Pendokong ketulenan bahasa tidak bermaksud hendak menyekat kemajuan dan perkembangan bahasa. Perkataan-perkataan baru yang diambil daripada bahasa lain tidak boleh disekat kerana itu sudah menjadi sifat bahasa. Cumanya, ia harus dilakukan secara tertib, beradab dan memelihara jati diri bahasa sendiri. Jika tidak, jati diri bahasa akan hilang. Apabila pupus kata, pupus jugalah bahasa.
Ia juga mencerminkan mentaliti pengguna bahasa Melayu yang bukan saja sudah tidak bersemangat untuk menggunakan bahasa sendiri secara terhormat. Gejala jelas datangnya melalui bahasa rojak. Menggunakan perkataan Singapore dan bukannya Singapura merupakan amalan bahasa rojak. Bukan saja tidak indah tetapi akhirnya berasakan bahawa perkataan Singapura itu menjadi asing.
Dahulu sering didengar mengenai ramalan cuaca daripada Jabatan Kajicuaca. Sekarang istilah kajicuaca telah dipupuskan dan digantikan dengan meteorologi. Untuk apa? Sedangkan jelas perkataan kajicuaca menggambarkan bidang kajian mengenai cuaca, dan segala yang berkaitan dengannya. Sudahlah mahu menyebut meteorologi sukar dari segi bahasa Melayu, ia juga tidak menggambarkan bidang tersebut. Istilah meteorologi tidak salah untuk digunakan dalam merujuk pada bidang itu. Tetapi mengapa tidak boleh dikekalkan kajicuaca.
Begitu juga dengan kajihayat telah pupus digantikan dengan biologi. Kajidaya sudah digantikan dengan mekanik. Apa salahnya dikekalkan. Antara hujahnya ialah untuk menyeragamkan di peringkat antarabangsa. Tidak ada mana-mana bahasa yang memaksa bahasa lain untuk menyeragamkan istilah.

Ahad, Ogos 02, 2009

Orang Putih Bukan Mat Salleh!

Sejak saya boleh bercakap dan kemudian boleh membaca, saya sering mendengar orang Melayu memanggil "Mat Salleh" kepada bangsa Eropah atau disebut juga 'orang putih'. Biarpun masih kanak-kanak ketika itu tetapi saya selalu tertanya-tanya kenapa panggilan 'Mat Salleh' diberikan kepada 'orang putih'.

Setelah bersekolah dan belajar mengenai sejarah negara, kemudian dewasa dan semakin mengerti akan sejarah negara, saya masih belum menemui jawapan kenapa 'orang putih' dipanggil 'Mat Salleh'. Kata orang, sejarah tidak pernah berbohong. Maka bersandarkan kefahaman dari sejarah silam, saya paling tidak suka bila ada orang menyebut 'orang putih' sebagai 'Mat Salleh'.

Kenapa menyebut 'orang putih' sebagai Mat Salleh? Memang tak silap bahawa Mat Salleh adalah kependekkan dari nama Muhammad Salleh. Muhammad adalah nama Nabi Besar kita Muhammad SAW. Salleh juga adalah nama salah seorang Nabi.

Mulia sangatkah bangsa penjajah dan perompak ini hingga sanggup diberikan nama yang cukup indah dan mulia dalam Islam? Orang jenis ini (berdasarkan latar sejarah akan sikap dan perangai mereka), hanya layak dipanggil "Mad Sailor"

Jangan ditanya siapa yang mula-mula menyebut atau memanggil orang 'balar' sebagai Mat Salleh. (Bangsa ini sebenarnya bukan putih. Tetapi warna mereka ini 'balar' iaitu keperangan. Sebab masih ada bangsa lain yang lebih atau benar-benar putih daripada 'orang balar' ini).

Tanpa emosi tetapi berpaksikan realiti, kita jangan lagi mengguna panggilan tersebut kepada bangsa yang mengharu-birukan dunia sejagat sejak dulu,kini dan selamanya.

Jumaat, Julai 24, 2009

Kenapa Bank Pertanian jadi Agro Bank?

Walaupun tulisan saya kali ini masih berkaitan dengan Bahasa Melayu, tetapi saya tidak bermaksud untuk menyentuh mengenai PPSMI yang telah diputuskan oleh Kerajaan untuk memansuhkannya bermula tahun 2012 nanti. Saya tetap berpandangan bahawa isu PPSMI tidak perlu diperdebat atau dipertikaikan lagi kerana keputusannya adalah muktamad. Klik di sini!

Cuma sebagai orang Melayu, saya merasa terlalu amat kesal, sedih dan keciwa apabila ada pihak tertentu tatkala mengulas isu PPSMI, menggunakan suara atau nada agak sinis yang seolah-olah menyindir, mempermain-main atau tepatnya memperlekeh bahasa ibunda sendiri. Dalam masa yang sama, sekalung tahniah saya ucapkan kepada beberapa individu bukan dari kalangan bangsa Melayu, yang begitu bersungguh-sungguh berjuang ke arah memartabatkan Bahasa Melayu. Dengan begitu bangga dan penuh semangat, mereka mengimbas akan jalur sejarah keagungan Bahasa Melayu masa silam dan dengan begitu yakin menyatakan akan kewibawaan Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu dan menduduki 'ranking' sebagai antara bahasa utama di dunia.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Mahyuddin Yassin menyatakan bahawa selain mengukuhkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa resmi negara, Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua akan diperkasakan. Beberapa langkah dan strategi telah dirangka untuk dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat tersebut. Dan rakyat pastinya akan menunggu untuk melihat apakah dasar dan perancangan Kerajaan akan tercapai seperti yang disasarkan.

Ada teman mengatakan kepada saya bahawa sikap atau dasar Kerajaan terhadap Bahasa Melayu bagaikan "tangan kanan mengangkat tetapi dalam masa yang sama, tangan kiri yang meruntuh." Mulanya saya bersetuju untuk mengatakan tidak bersetuju tetapi apabila hujah demi hujah diberikan, akhirnya saya tidak bersetuju untuk mengatakan setuju.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani adalah contoh Kementerian yang paling hampir dan terlalu dekat dengan rakyat kebanyakan. Dan kebanyakan yang terlibat dengan pertanian serta asas tani ialah orang-orang kampung berbangsa Melayu. Kementerian ini antara yang paling ghairah mempromosi jenama tebaru keluarannya dengan nama-nama yang keInggerisan.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani turut diringkaskan menjadi MOA, berdasarkan singkatan dalam bahasa Inggeris. MOA digunkan secara rasmi dan meluas oleh Kementerian Pertanian. Mungkin ada berpandangan tidak salah menggunakan MOA kerana banyak pihak yang berbuat demikian. Itu bukan persoalan kerana jawapannya jika PWD boleh ditukar menjadi JKR, DID boleh ditukar menjadi JPS, RIMV boleh ditukar menjadi JPJ dan beberapa lagi kenapa yang sudah Melayu mahu ditukar kepada Inggeris?

Malah hampir semua agensi di bawahnya seperti MARDI, MPIB, Veterinar, MADA, KADA, Agro Bank juga turut mengambil langkah sama, diringkaskan berdasarkan sebutan dalam Bahasa Inggeris.

Paling menghairankan kenapa nama Bank Pertanian yang sudah cukup gah dan masyhur di kalangan petani dan seluruh rakyat Malaysia, telah diubah kepada Agro Bank? Agro sendiri memberi definisi hanya sebahagian dari sektor pertanian tetapi bukan membawa makna pertanian seluruhnya. Apakah dengan perubahan nama yang kononnya untuk tujuan suapaya lebih bernilai komersil, Agro Bank telah melonjak dari segi keuntungan? Rasanya tidak kerana Bank Rakyat yang masih berjenama penuh Melayu, merupakan antara Bank di Malaysia meraih keuntungan paling tinggi.

Tidak lama dulu sejenis mempelam diperkenalkan di Melaka dan dinamakan "Malacca Delight". Sejenis lagi mempelam terbaru diperkenalkan di Kedah dan diberi nama sebagai "Tobiar Gold".

Anehnya, "Tobiar Gold" hasil kacukan beberapa baka mempelam tempatan dengan baka mempelam Cokanan dari Thailand. Jika Thailand boleh menamakan mempelam dengan nama orang yang menghasilkannya, iaitu Mr Chok Anan dan terkenal ke seluruh dunia, kenapa tidak dengan kita?

Paling baru, MADA di Kedah telah melancarkan variati beras tempatan terbaru dan diberi nama "Kedah Rice". Kenapa "Kedah Rice" dan tidak seperti sebelum ini yang menggunakan nama Malinja, Mahshuri, Ria, Bahagia dan lain-lain.

Banyak lagi dalil dan hujah untuk dibuktikan namun cukup sekadar memberikan beberapa contoh untuk difikirkan. Apakah betul tangan kanan kita melonjak atau menjulang martabat Bahasa Melayu tetapi dalam waktu yang sama, tangan kiri meruntuhkan?