Pengikut

Sabtu, September 12, 2009

PIHAI (PERIHAL) PUASA : ZAKAT FITRAH

Masa kanak-kanak dulu aku dipasak dengan kata-kata, kalau tak keluar zakat, tak boleh berhariraya! Dalam erti kata lain, zakat fitrah lebih utama dari puasa; sebab kalau tak puasa masih boleh berhariraya. Mau tak mau bila ayah suruh hantar beras fitrah, aku tidak boleh berdolak-dalik, payah sekali untuk menolak walaupun jauh dan mengambil masa lama kerana terpaksa berjalan kaki.

Kata setengah orang, puasa tungging terbalik penuh sebulan pun, kalau tak keluar zakat fitrah, pahalanya tergantung. Zakat fitrah yang dikenali juga zakat badan, diwajibkan kepada setiap orang Islam, tanpa kecuali samada miskin atau papa, tua atau muda, cacat atau kurang upaya.

Masa dulu-dulu, fitrah menggunakan beras. Tidak boleh tidak kerana zakat fitrah mestilah daripada makanan asasi iaitu beras! Hinggakan jika seseorang mempunyai wang tapi tidak mempunyai beras, terpaksa juga membeli beras untuk dijadikan fitrah kerana fitrah tidak boleh dibayar dengan wang. Ketika itu!

Walaupun zakat fitrah boleh dikeluarkan bermula awal puasa lagi, namun semua akan menunggu di hujung puasa kerana itulah waktu paling afdhal. Kepala keluarga akan menyediakan sebungkus beras (berisi segantang) bagi setiap tanggungan. Kalau sebuah keluarga mengandungi 6 orang, akan dibuatlah enam bungkusan.

Beras fitrah ini akan diberikan kepada orang-orang yang berhak menerima zakat (asnaf). Walaupun mengikut asnaf, orang fakir dan miskin mendahului senarai namun di kampung aku, yang menjadi keutamaan ialah guru-guru Qur'an atau guru-guru mengajar agama. Kemudian barulah Tuan Imam, Siak atau pegawai-pegawai masjid. Selepas itu barulah fakir miskin. Ketika itu!

Itu senario di kampung aku (mungkin juga sama dengan tempat lain). Tetapi berbeza dengan senario di bandar Alor Setar. Tiba penghujung Ramadhan, berpusu-pusu 'penagih fitrah' datang untuk menagih fitrah dari orang ramai. Ada tua dan ada yang muda. Ada lelaki ada perempuan. Ada yang bawa anak kecik lagi.

Mereka ini akan duduk di kakilima kedai dan di kiri kanan jalan depan Masjid Zahir seawal pagi hingga larut malam. Malah ada yang sanggup tidur di situ. Di depan mereka akan tersedia sebungkusan beras fitrah.

Orang ramai akan membeli beras tersebut dengan harga yang ditetapkan. Selepas dibeli, beras tersebut diberikan kepada orang berkenaan sebagai zakat fitrah. Kemudian beras itu akan dibeli semula bagi tujuan dijadikan zakat untuk tanggungan seterusnya. Begitulah dilakukan berulang kali, mengikut jumlah tanggungan seseorang. Andaikan seorang ketua keluarga mempunyai 10 orang, maka terpaksalah dia membeli 10 kali beras yang sama dan 10 kali jugalah memberinya kepada orang berkenaan.

Aku pernah menemubual beberapa orang dari mereka. Ada sebahagian darinya sanggup datang dari luar negeri Kedah. Tidak diketahui status mereka dan adakah mereka benar-benar tergolong dalam asnaf yang layak menerima zakat. Ketika itu!

Sekarang bila wang dibolehkan mengganti beras sebagai zakat fitrah, senario dan pemandangan sebegitu beransur hilang di bandar Alor Setar. Kelulusan (wang boleh digunakan untuk membayar zakat fitrah) itu pun mulanya penuh kontroversi tapi kini semua negeri menerima pakai atau mempraktikkannya.

Islam sebenarnya agama yang cukup mudah. Zakat fitrah boleh dikeluarkan dengan wang kepada amil-amil yang di tempatkan di kawasan-kawasan strategik seperti di pasaraya selain di masjid. Zaman berubah dan teknologi semakin canggih. Terkini zakat fitrah boleh dibayar secara maya atau online atau boleh juga dibayar melalui SMS. Tiada pula timbul kontroversi kerana penguasaan ilmu telah mematangkan umat dan Islam sememangnya sesuai dengan sebarang waktu dan zaman.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Bersopan santun budaya kita!
Terima kasih atas kesudian membuat ulasan. Kalau ada kelapangan, berkunjunglah lagi ke blok saya.