Pengikut

Khamis, Ogos 13, 2009

Dari Allah Kita Datang, KepadaNya Kita Kembali!

Allahyarham Dharmala NS

Berita yang baru aku diterima, Pak Dharmala (Dharmala NS) telah meninggal dunia. Innalillahiwaiinailaihirojiun dan Al Fatihah.

Baru sebentar tadi membuat posting mengenai kematian Ustaz Asri, Ketua Kumpulan Nasyid "Rabbani". Kini mendapat khabar Pak Dharmala pula menemui Illahi setelah terlantar agak lama di hospital. Walaupun aku maklumi berita mengenainya, tapi tak berkesempatan untuk menziarahinya semasa dirawat dihospital.

Dua orang seniman (seorang penyanyi/vokalis dan seorang lahi penyair/sasterawan) telah dijemput Illahi menjelang Ramadahan. Kedua-duanya aku kenal walaupun bukan teman akrab. Dan aku mempunyai kenangan manis yang sukar dilupakan bersama mereka suatu masa dulu.

Masih teringat kenangan semasa Allahyarham Ustaz Asri dan rakan-rakan Rabbani Ke Kedah. Begitu juga dengan Allahyarham Dharmala NS. Pertama kali bertemu semasa Hari Sastera di Kedah ketika Allahyarham menerima Hadiah Sayembara Novel GAPENA-Yayasan Sabah kali yang pertama. Lepas itu kerap juga kami tersua semasa menyertai acara sastera.

Sesungguhnya, pemergian mereka berdua merupakan kehilangan besar dalam dunia seni tanahair. Mereka telah memberikan sumbangan besar kepada khazanah seni negara. Semoga Allah merestui roh kedua-duanya dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al Fatihah..... Amin!


Khamis, Ogos 13, 2009

Asri Rabbani Kembali ke Rahmatullah - Al Fatihah!

Ketua Kumpulan Nasyid Rabbani
Ketua kumpulan nasyid Rabbani, Asri Ibrahim telah meninggal dunia di Hospital Pantai, kira-kira jam 11 pagi tadi kerana sakit jantung. Allahyarham dilaporkan pengsan ketika mengendalikan program Syahadah musim kelima di Angkasapuri, sebelum dikejarkan ke hospital berkenaan.

Kumpulan Rabbani merupakan kumpulan awal yang muncul di arena muzik tanahair dengan menyampaikan lagu-lagu berirama Nasyid. Lagu-lagu nyanyian mereka bukan saja mendapat sambutan hangat di Malaysia, juga digemari oleh peminat-peminat di Singapura, Indonesia, serta Thailand.

Kumpulan Rabbani telah ditubuhkan pada 1 March 1997. Rabbani yang bermaksud Yang Arif dan Yang Soleh bermatlamat untuk menyeru diri, keluarga dan masyarakat kearah kebaikan.
Semoga Allah SWT akan merahmati roh Allahyarham dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang beriman. Amin!

Selasa, Ogos 11, 2009

Tahniah - Anwar Ridhwan Sasterawan Negara Ke-10

Anwar Ridhwan - Sasterawan Negara ke-10

Pengarang novel Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman Sdr Anwar Ridhwan telah diumumkan sebagai Sasterawan Negara yang ke-10. Pengumuman dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia.

Dengan pengumuman ini Sdr Anwar antara lain akan menerima wang tunai berjumlah RM60,000 serta berbagai kemudahan dan insentif untuk berkarya.

Anwar Ridhwan adalah seorang sasterawan yang kreatif dan prolifik. Nama sebenarnya Dato' Dr. Anuar bin Haji Rethwan dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 5 Ogos 1949. Lulusan Sarjana Muda Sastera (1973) dari Universiti Malaya beliau kemudiannya memperolehi ijazah Sarjana Sastera (1983) dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) (1998) kesemuanya dari Universiti Malaya. Beliau menumpukan kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehinggalah bersara pada tahun 2005 dengan jawatan terakhirnya Pengarah Penerbitan DBP.

Dalam dunia penulisan beliau terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen. Novelnya yang pertama ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang memenangi Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah, 1979. Sebuah lagi novelnya Arus (1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985.Antara cerpen karyanya ialah Perjalanan Terakhir (1971), Dunia adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang (1976)dan Dari Kiev ke Moskova (1992). Karya beliau yang diilham dan disiapkan di Jepun pada tahun 2001 berjudul Naratif Ogonshoto memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Novel itu dengan judul "Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto" diterbitkan dalam bahasa Rusia (penterjemah Victor Pogadaev) pada tahun 2006 di Sanct-Petersburg (penerbit Paideia).

Sasterawan Negara merupakan anugerah tertinggi yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia kepada mereka yang menyumbang dalam bidang sastera berbahasa Melayu. Sebelum ini terdapat 9 orang sasterawan yang pernah menerima anugerah berkenaan. Mereka ialah Keris Mas, Shahnon Ahmad, Usman Awang, A Samad Said, Arenawati, Muhammad Haji Salleh, Nordin Hassan, Abdullah Hussain dan S Othman Kelantan. Sdr Anwar Ridhwan adalah penerima Anugerah Sasterawan Negara yang ke-10.

Sdr Anwar yang saya kenal agak lama, merupakan seorang yang tidak banyak cakap tapi cukup mesra bila berkawan. Saya pernah mengikuti beberapa kursus penulisan di bawah bimbingannya dan agak kerap bertemu dengannya samada di DBP atau di beberapa acara sastera. Pertama kali bertemu semasa berkursus di Pulau Pinang sekitar tahun 80an dan program terakhir bersamanya tiga tahun lalu di Perkampungan Penulis Kedah di Alor Setar.

Memang tepat Sdr Anwar dianugerahi Sasterawan Negara memandangkan mutu hasil karyanya yang membanggakan. Syabas dan tahniah untuk Sdr Anwar.

Cuma apa yang agak menarik dan perlu saya sebutkan di sini ialah dengan pengumuman Sdr Anwar Ridhwan sebagai Sasterawan Negara yang ke-10, maka hampalah beberapa pihak yang sebelum ini yang amat mengharap dan menjangkakan akan ada pengarang wanita yang akan dinobatkan untuk menerima anugerah sastera yang berprestij itu. Pastinya keciwa jugalah beberapa orang pengarang wanita yang sebelum ini ada memasang impian untuk menerimanya.

Agaknya saja, tahap atau pencapaian pengarang atau sasterawan wanita di Malaysia masih belum dapat menandingi kehebatan karya pengarang atau sasterawan lelaki. Bagaimana pun, panel juri yang bijaksana mempunyai hujah dan alasan yang seharusnya semua pihak akur.