Pengikut

Selasa, Jun 16, 2009

Seorang Lagi Artis Kelahiran Kedah Pergi.....






Innalillahi waiina ilai hi rojiun!

Al Fatihah khusus buat Allahyarham Shukri Hashim dan diiringi dengan doa semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin!

Mungkin orang kata aku ni ketinggalan keretapi pasai Allahyarham Shukri Hashim dah hampir seminggu m
eninggal. Tak apalah! Yang aku nak catat di sini pasai Shukri ini asal kelahiran Kedah. Antara pelakon yang selalu guna pelet atau dialek Kedah dengan betul. (Ada juga setengah tu cuba ajuk cakap Kedah tapi tak berapa nak jadi. Ayaq jadi ayak. Geli geleman aku dengar.) Berbeza dengan Shukri Hashim dan beberapa orang lagi artis/pelakon berasal dari Kedah seperti Abu Bakar Omar, Zulkifli Zain, Kartina Aziz, Badrul Munir, Zul Yahya, Maidin, aruah Ismail Din dan beberapa nama yang memang kauuu bila cakap Kedah.

Kali terakhir aku jumpa arwah Shukri ialah semasa kenduri kahwin di rumah Tuan Haji Zainol Shariff di Bandar Bharu awal tahun ini. Tak sangka bahawa Haji Zainol ni kenal dan berkawan baik dengan aruah Shukri. Kalau tak akrab betul, tak kan sanggup aruah Shukri Hashim bawa kereta sendiri, datang dari Kuala Lumpur semata-mata untuk makan kenduri di Bandar Bharu.

Bila aku sampai ke rumah Haji Zainol, cepat-cepat dan bersungguh-sungguh Haji Zainol ajak aku berjumpa 'seseorang'. Suspen juga aku mulanya. Rupa-rupanya aku diperkenalkan dengan pelakon Shukri Hashim. Aku sempat bertanya khabar dan bersembang ringkas dengan aruah kerana nak bagi peluang orang lain (peminat) berjumpa dengan Shukri Hashim.

Kematian Allahyarham Shukri Hashim pada 10 Jun lalu memang aku dah tau. Catatan ini aku buat kerana baru sebentar tadi aku tenguk lakonan Allahyarham Shukri Hashim di TV 9. Banyak juga filem dan drama tv yang dilakonkannya. Hebat juga lakonannya dan dramanya pun banyak yang bagus-bagus. Tapi entahlah, aku tak pernah dengar dia mendapat atau memenangi apa-apa anugerah. Minta maaflah kalau aku silap pasai aku ni bukan berapa tau sangat tentang dunia artis ni. Aku perasan.... pingat atau bintang apa pun dia tak pernah dapat. Pun mintak maaf kalau aku silap. Kalau nak kira, besar juga sumbangan dan jasa Allahyarham terhadap dunia seni tanahair. Tapi.... begitulah nasib artis kita.

Tak ramai pelakon Kedah yang boleh mencapai ke tahap Allahyarham Shukri Hashim. Hebat dan popular. Sedikit sebanyak jasa dan sumbangannya telah turut mengharumkan nama Kedah, negeri kelahirannya.

Sayang, seorang lagi pelakon atau artis terkenal kelahiran negeri Kedah telah pergi meninggalkan kita.

Isnin, Jun 15, 2009

Dah Lama Hujan Tak Turun

Aku tak berapa ingat, dah berapa lama bumi Kedah yang terkenal dengan Jelapang Padi, tidak ditimpa hujan. Tapi yang saheh, sepanjang dua minggu cuti sekolah baru-baru ini, sapa yang buat kenduri kahwin lega banyak. Dada rasa lapang dan boleh tarik nafas panjang-panjang pasai tak seriyau langsung kat hujan. Sebelum tu pun hujan dah lama tak turun.

Kalau dulu, aku dok pi sebelah Sedim/Kulim boleh kata seluloi hujan turun. Tapi aku pi minggu sudah, panas dari pagi sampai ke malam.

Nak kata keadaan ini berlaku gejala atau fenomena Al Nino, tak mungkin pasai bijak pandai sains kata Al Nino lambat lagi nak mai ke Malaysia. Atau sebelum Al Nino mai, dia hantar dulu anak buah dia entahlah. Tapi la ni di Kedah memang hangat.

Bila hujan tak dak, memanglah hangat. Mokalu hangat belah siang, perkara biasa. Ok juga, boleh tahan. Tapi mokalu belah malam pun hangat, tengah malam pun hangat, dok luar rumah pun hangat, dok kena berkirap sepanjang masa, ni dah luar biasa.

Dok dalam rumah hangat. Keluar dok luar rumah pun hangat. Nak tidur tak boleh mokalu tak buka kipas. Hak yang mampu boleh boh aircond ok la juga. Tidak pun masuk tidur dalam kereta, buka injin, buka aircond kereta. Kah kah kah!. Mokalu hangat sangat, rimas tak tentu kalu. Mokalu orang lelaki akan gulung kain pelikat sampai pangkal paha. Mokalu orang perempuan, pakai kain batik ketang kedada. Setengah tu bila dah tlena, kain sekeping pun tak lekat di badan. Tak sedar waktu mana terlondeh. Hangat punya pasai!

Tut tut petang kemarin, dok tak dok, hujan sapu. Lebat pulak tu. Seriyat sat dekat magrib. Lepas magrib sesah pulak sampai Isya. Nak pi kerja pagi tadi pun hujan. Tak sat pun hujan lagi. Lebat jugak. (Tempat aku la. Tang lain aku tak tau. Tapi kawan-kawan lain bagitau tempat depa pun hujan jugak.).

Hujan rahmat! Cup! Tak boleh kata hujan rahmat. Sebab apa jugak yang berlaku, adalah dari Allah. Kalau hujan pun rahmat. Tak hujan pun rahmat. Kemarau pun rahmat. Kita manusia ni jahil. Hanya Tuhan Maha Mengetahui akan sesuatu kejadian!

Bumi sedikit basah. Tanah tidak lagi merekah. Daun pokok kembali hijau. Padi, getah, sawit, sayur, dan semua tanaman serta rumput-ramai jadi segar. Orang buat bendang, orang kebun getah, orang kelapa sawit, orang kebun sayur, orang ada dusun, orang ada kolam ikan, orang meniaga,semua kena syukur sebab hujan turun. Pendeknya semua manusia kena bersyukur.

Alhamdulillah!

Ahad, Jun 14, 2009

Dah lama tak dengar deklamasi sajak



ATAS NAMA LIBERALISME

Atas nama liberalisme
mari kita jual bangsa
mari kita gadaikan agama
kita tukarkan dengan kuasa
hatta sekadar untuk menjadi boneka.

Atas nama liberalisme
mari kita lupakan soal hak
segala-galanya biar sama banyak
kita serahkan apa yang depa mintak
termasuk baju-baju kita yang koyak
biar yang tinggal untuk kita
cuma lubang-lubangnya!

Atas nama liberalisme
mari kita wirakan segala petualang
mari kita muliakan segala jalang
yang penting nama kita disebut dijulang
yang penting kita diusung ditatang
oleh mereka yang berjalan
di atas kepala kita zaman berzaman.

Atas nama liberalisme
mari kita sama-sama sanjung
anak-anak muda yang menyanyi menyelak punggung
mari kita dukung
segala monyet, cikah dan lotong
demi hak asasi mereka
elok kita benamkan sahaja
segala adab budaya
segala bahasa susila.

Atas nama liberalisme
mari kita pejamkan mata
mari kita pekakkan telinga
mari kita kunci suara
kalau pun nanti
ada Persatuan Penagih Arak Islam muncul di sana-sini!

Tak apa,
yang penting di mata Barat
kita ini kelihatan hebat!


Haji Kampung

Ahad, Jun 14, 2009

Sasaterawan Negara A. Samad Said

(Bukan sekadar pejuang Sastera tetapi juga Pejuang Bahasa Melayu)

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said tidak berapa lama dulu pernah menggemparkan negara. Beliau pernah melancarkan mogok seni angkara karenah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam menangani royalti dan juga mengenai layanan tidak wajar yang diberikan kepada Sasterawan Negara. Terbaru, Datuk A Samad Said juga terlibat secara langsung dalam gerakan memansuhkan PPSMI. Beliau sanggup berjalan kaki, berhujan dan berpanas bersama ribuan penunjuk perasaan yang memprotes PPSMI. Datuk A Samad Said bukan sekadar sasterawan, malahan seorang pejuang bahasa yang tidak rela bahasa ibundanya diperlekehkan.

Perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu baginya tidak ada tolak ansur. Beliau akan menggunakan apa juga cara dan saluran yang boleh, termasuk politik. Datuk A. Samad Said begitu tegas dan mengatakan beliau sekali-kali tidak akan berhenti berjuang selagi Kerajaan tidak memansuhkan PPSMI.

Telah banyak kali saya terlihat sepanduk seperti di atas. Dulu semasa Pilihanraya Kecil di Bukit Selambau dan Bukit Gantang, (mungkin) juga di Penanti. Cuma bila saya melihat sepanduk-sepanduk seperti di atas, samada yang diregang atau dilekatkan di pokok-pokok, hati saya tertanya-tanya; Adakah Datuk A Samad Said mempergunakan medium politik (PAS) sebagai saluran perjuangannya. Ataukah PAS yang menggunakan Datuk A. Samad Said untuk perjuangan politiknya?

Datuk A Samad Said ada jawapannya. PAS pun ada jawapannya. Siapa-siapa juga boleh mencari atau mereka jawapan mengikut persfektif masing-masing.