Pengikut

Jumaat, Julai 24, 2009

Kenapa Bank Pertanian jadi Agro Bank?

Walaupun tulisan saya kali ini masih berkaitan dengan Bahasa Melayu, tetapi saya tidak bermaksud untuk menyentuh mengenai PPSMI yang telah diputuskan oleh Kerajaan untuk memansuhkannya bermula tahun 2012 nanti. Saya tetap berpandangan bahawa isu PPSMI tidak perlu diperdebat atau dipertikaikan lagi kerana keputusannya adalah muktamad. Klik di sini!

Cuma sebagai orang Melayu, saya merasa terlalu amat kesal, sedih dan keciwa apabila ada pihak tertentu tatkala mengulas isu PPSMI, menggunakan suara atau nada agak sinis yang seolah-olah menyindir, mempermain-main atau tepatnya memperlekeh bahasa ibunda sendiri. Dalam masa yang sama, sekalung tahniah saya ucapkan kepada beberapa individu bukan dari kalangan bangsa Melayu, yang begitu bersungguh-sungguh berjuang ke arah memartabatkan Bahasa Melayu. Dengan begitu bangga dan penuh semangat, mereka mengimbas akan jalur sejarah keagungan Bahasa Melayu masa silam dan dengan begitu yakin menyatakan akan kewibawaan Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu dan menduduki 'ranking' sebagai antara bahasa utama di dunia.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Mahyuddin Yassin menyatakan bahawa selain mengukuhkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa resmi negara, Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua akan diperkasakan. Beberapa langkah dan strategi telah dirangka untuk dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat tersebut. Dan rakyat pastinya akan menunggu untuk melihat apakah dasar dan perancangan Kerajaan akan tercapai seperti yang disasarkan.

Ada teman mengatakan kepada saya bahawa sikap atau dasar Kerajaan terhadap Bahasa Melayu bagaikan "tangan kanan mengangkat tetapi dalam masa yang sama, tangan kiri yang meruntuh." Mulanya saya bersetuju untuk mengatakan tidak bersetuju tetapi apabila hujah demi hujah diberikan, akhirnya saya tidak bersetuju untuk mengatakan setuju.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani adalah contoh Kementerian yang paling hampir dan terlalu dekat dengan rakyat kebanyakan. Dan kebanyakan yang terlibat dengan pertanian serta asas tani ialah orang-orang kampung berbangsa Melayu. Kementerian ini antara yang paling ghairah mempromosi jenama tebaru keluarannya dengan nama-nama yang keInggerisan.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani turut diringkaskan menjadi MOA, berdasarkan singkatan dalam bahasa Inggeris. MOA digunkan secara rasmi dan meluas oleh Kementerian Pertanian. Mungkin ada berpandangan tidak salah menggunakan MOA kerana banyak pihak yang berbuat demikian. Itu bukan persoalan kerana jawapannya jika PWD boleh ditukar menjadi JKR, DID boleh ditukar menjadi JPS, RIMV boleh ditukar menjadi JPJ dan beberapa lagi kenapa yang sudah Melayu mahu ditukar kepada Inggeris?

Malah hampir semua agensi di bawahnya seperti MARDI, MPIB, Veterinar, MADA, KADA, Agro Bank juga turut mengambil langkah sama, diringkaskan berdasarkan sebutan dalam Bahasa Inggeris.

Paling menghairankan kenapa nama Bank Pertanian yang sudah cukup gah dan masyhur di kalangan petani dan seluruh rakyat Malaysia, telah diubah kepada Agro Bank? Agro sendiri memberi definisi hanya sebahagian dari sektor pertanian tetapi bukan membawa makna pertanian seluruhnya. Apakah dengan perubahan nama yang kononnya untuk tujuan suapaya lebih bernilai komersil, Agro Bank telah melonjak dari segi keuntungan? Rasanya tidak kerana Bank Rakyat yang masih berjenama penuh Melayu, merupakan antara Bank di Malaysia meraih keuntungan paling tinggi.

Tidak lama dulu sejenis mempelam diperkenalkan di Melaka dan dinamakan "Malacca Delight". Sejenis lagi mempelam terbaru diperkenalkan di Kedah dan diberi nama sebagai "Tobiar Gold".

Anehnya, "Tobiar Gold" hasil kacukan beberapa baka mempelam tempatan dengan baka mempelam Cokanan dari Thailand. Jika Thailand boleh menamakan mempelam dengan nama orang yang menghasilkannya, iaitu Mr Chok Anan dan terkenal ke seluruh dunia, kenapa tidak dengan kita?

Paling baru, MADA di Kedah telah melancarkan variati beras tempatan terbaru dan diberi nama "Kedah Rice". Kenapa "Kedah Rice" dan tidak seperti sebelum ini yang menggunakan nama Malinja, Mahshuri, Ria, Bahagia dan lain-lain.

Banyak lagi dalil dan hujah untuk dibuktikan namun cukup sekadar memberikan beberapa contoh untuk difikirkan. Apakah betul tangan kanan kita melonjak atau menjulang martabat Bahasa Melayu tetapi dalam waktu yang sama, tangan kiri meruntuhkan?


Isnin, Julai 20, 2009

Bagaimana Dengan Bahasa Arab....?

Tulisan saya kali ini adalah sebagai lanjutan dari tulisan sebelumnya, yang berkaitan dengan langkah Kerajaan memartabatkan Bahasa Melayu, selaras dengan statusnya sebagai bahasa resmi negara. Klik di sini! Kita juga telah mengiktiraf bahawa Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua yang menjadi cukup penting.

Biarlah di awal ini saya perjelaskan bahawa saya bukanlah anti kepada Bahasa Inggeris, malah saya menyokong penuh segala usaha untuk mempelajari bukan sekadar Bahasa Inggeris, malah bahasa-bahasa lain. Pengalaman saya berkunjung ke beberapa buah negara misalnya ke Spanyol, Portugal, Perancis, Cina, negara-negara Arab dll. menyebabkan saya merasa terkilan atau rugi kerana tidak upaya menguasai bahasa negara berkenaan. Dalam erti kata lain, tidak cukup jika kita hanya menguasai Bahasa Inggeris kerana masih ada negara yang tidak menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi.

Tetapi sebagai seorang muslim, saya merasa rugi yang TERAMAT SANGAT kerana tidak dapat menguasai Bahasa Arab, sedangkan sejak kecil saya (mungkin juga orang lain) diasuh membaca Al Quran yang ditulis dalam Bahasa Arab. Saya sedar bahawa Bahasa Arab adalah bahasa agama Islam yang saya anuti. Bahasa inilah kelak yang akan menjadi bahasa pengantar di Yaumal Mahsyar! Entah apa sebabnya, saya langsung tidak berusaha untuk mempelajarinya walaupun ada kesempatan.

Ada kisah semasa saya di darjah 6 sekolah rendah dulu. Semua pelajar diberi pilihan untuk melanjutkan pelajaran ke mana-mana Sekolah Menengah. Ada seorang teman tidak memilih untuk ke Sekolah Menengah seperti kebanayakan pelajar. Teman yang ini memilih untuk menyambung pelajaran ke sekolah Agama (Arab). Satu kelas tergamam, macam tidak percaya. Ada teman nakal yang menyindir bahawa bersekolah Agama (Arab) untuk menjadi Haji atau Lebai Pondok.

Begitulah! Ada sebilangan dari kita yang menganggap Bahasa Arab tidak penting. Akan tetapi kita seakan lupa bahawa semua urusan ibadat, termasuk mempelajari dan mengamalkannya adalah dalam Bahasa Arab.

Kita bersembahyang sehari semalam paling kurang lima waktu, yang semua bacaan dan sebutannya adalah dalam Bahasa Arab. Kita juga disunatkan berdoa selepas sembahyang, juga afdhalnya dalam Bahasa Arab. Alangkah.... alangkah ruginya kita hanya membaca atau menyebutnya dengan betul tetapi maknanya tidak kita ketahui. Dan alangkah... alangkah bertuahnya jika saya juga menguasai Bahasa Arab.

Masa memang sudah terlambat, tetapi masih ada ruang untuk saya (dan kita) mempelajari Bahasa Al Quran!


Isnin, Julai 20, 2009

Kenapa Isu PPSMI masih didebatkan?

Isu PPSMI sepatutnya sudah tidak diperdebatkan lagi oleh mana-mana pihak, baik kepada yang menyokong pemansuhan atau kepada pihak yang mahu mengekalkannya. Beberapa akhbar dan stesyen TV, termasuk RTM masih ghairah mengadakan ruangan atau forum khusus untuk melanjutkan lagi perbincangan atas isu PPSMI. Saya tidak bermaksud untuk menyekat pendapat atau suara mereka yang arif atau tokoh mengenainya. Bagi saya, melanjutkan perdebatan atas isu yang telah diputuskan oleh Kerajaan akan lebih meresah atau mengelirukan rakyat dan tentu saja menyulitkan perlaksanaannya. Ia juga memberi gambaran seolah-olah isu berkenaan masih belum muktamad.

Pada minggu lepas tidak kurang dari 3 ruangan forum yang cukup hangat mengenai PPSMI disiarkan oleh stesyen TV, di samping beberapa buah artikel yang pro dan kontra tersiar di akhbar-akhbar. Baru sebentar tadi saya menonton siri Bual Bicara yang memfokuskan isu yang sama di TV1. Dan malam esok pula akan berlangsung satu lagi siri debat di TV9.

Kesempatan mengikuti beberapa ruangan forum di TV, menunjukkan bahawa perdebatan atau perbincangan yang dianjurkan adalah sekadar mengulangi hal-hal yang sebelum ini sebenarnya telah pun diperdebatkan oleh kedua-dua pihak, baik yang menyokong atau yang menentang. Alasan atau hujah yang dilontarkan adalah alasan-alasan yang sama yang diulang kembali.

Keputusan yang dibuat oleh Kerajaan bukanlah secara tergesa-gesa, malah setelah mengambil kira dari berbagai aspek. Natijah dari keputusan tersebut amat jelas bahawa Kerajaan inginkan Bahasa Melayu kekal menjadi bahasa pengantar sesuai dengan statusnya sebagai Bahasa Resmi Negara dan dalam masa yang sama Kerajaan bersungguh-sungguh berusaha memperkasakan penguasaan Bahasa Inggeris.

Keputusan memansuhkan PPSMI pada tahun 2012 adalah muktamad. Menteri Pelajaran, Tan Sri Mahyuddin Yassin yang juga selaku Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa Kerajaan tetap dengan keputusan memansuhkan PPSMI pada tahu 2012. Berundur atau mengubah keputusan yang telah dibuat oleh Kerajaan akan mendatangkan kesan politik yang lebih buruk.

Adalah lebih baik, ruang dan masa yang digunakan oleh media-media tertentu, digunakan ke arah mencari jalan atau membantu Kerajaan bagi mengukuh dan memantapkan lagi PPSMI agar anak bangsa tidak lagi menjadi mangsa.