Pengikut

Jumaat, Julai 24, 2009

Kenapa Bank Pertanian jadi Agro Bank?

Walaupun tulisan saya kali ini masih berkaitan dengan Bahasa Melayu, tetapi saya tidak bermaksud untuk menyentuh mengenai PPSMI yang telah diputuskan oleh Kerajaan untuk memansuhkannya bermula tahun 2012 nanti. Saya tetap berpandangan bahawa isu PPSMI tidak perlu diperdebat atau dipertikaikan lagi kerana keputusannya adalah muktamad. Klik di sini!

Cuma sebagai orang Melayu, saya merasa terlalu amat kesal, sedih dan keciwa apabila ada pihak tertentu tatkala mengulas isu PPSMI, menggunakan suara atau nada agak sinis yang seolah-olah menyindir, mempermain-main atau tepatnya memperlekeh bahasa ibunda sendiri. Dalam masa yang sama, sekalung tahniah saya ucapkan kepada beberapa individu bukan dari kalangan bangsa Melayu, yang begitu bersungguh-sungguh berjuang ke arah memartabatkan Bahasa Melayu. Dengan begitu bangga dan penuh semangat, mereka mengimbas akan jalur sejarah keagungan Bahasa Melayu masa silam dan dengan begitu yakin menyatakan akan kewibawaan Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu dan menduduki 'ranking' sebagai antara bahasa utama di dunia.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Mahyuddin Yassin menyatakan bahawa selain mengukuhkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa resmi negara, Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua akan diperkasakan. Beberapa langkah dan strategi telah dirangka untuk dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat tersebut. Dan rakyat pastinya akan menunggu untuk melihat apakah dasar dan perancangan Kerajaan akan tercapai seperti yang disasarkan.

Ada teman mengatakan kepada saya bahawa sikap atau dasar Kerajaan terhadap Bahasa Melayu bagaikan "tangan kanan mengangkat tetapi dalam masa yang sama, tangan kiri yang meruntuh." Mulanya saya bersetuju untuk mengatakan tidak bersetuju tetapi apabila hujah demi hujah diberikan, akhirnya saya tidak bersetuju untuk mengatakan setuju.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani adalah contoh Kementerian yang paling hampir dan terlalu dekat dengan rakyat kebanyakan. Dan kebanyakan yang terlibat dengan pertanian serta asas tani ialah orang-orang kampung berbangsa Melayu. Kementerian ini antara yang paling ghairah mempromosi jenama tebaru keluarannya dengan nama-nama yang keInggerisan.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani turut diringkaskan menjadi MOA, berdasarkan singkatan dalam bahasa Inggeris. MOA digunkan secara rasmi dan meluas oleh Kementerian Pertanian. Mungkin ada berpandangan tidak salah menggunakan MOA kerana banyak pihak yang berbuat demikian. Itu bukan persoalan kerana jawapannya jika PWD boleh ditukar menjadi JKR, DID boleh ditukar menjadi JPS, RIMV boleh ditukar menjadi JPJ dan beberapa lagi kenapa yang sudah Melayu mahu ditukar kepada Inggeris?

Malah hampir semua agensi di bawahnya seperti MARDI, MPIB, Veterinar, MADA, KADA, Agro Bank juga turut mengambil langkah sama, diringkaskan berdasarkan sebutan dalam Bahasa Inggeris.

Paling menghairankan kenapa nama Bank Pertanian yang sudah cukup gah dan masyhur di kalangan petani dan seluruh rakyat Malaysia, telah diubah kepada Agro Bank? Agro sendiri memberi definisi hanya sebahagian dari sektor pertanian tetapi bukan membawa makna pertanian seluruhnya. Apakah dengan perubahan nama yang kononnya untuk tujuan suapaya lebih bernilai komersil, Agro Bank telah melonjak dari segi keuntungan? Rasanya tidak kerana Bank Rakyat yang masih berjenama penuh Melayu, merupakan antara Bank di Malaysia meraih keuntungan paling tinggi.

Tidak lama dulu sejenis mempelam diperkenalkan di Melaka dan dinamakan "Malacca Delight". Sejenis lagi mempelam terbaru diperkenalkan di Kedah dan diberi nama sebagai "Tobiar Gold".

Anehnya, "Tobiar Gold" hasil kacukan beberapa baka mempelam tempatan dengan baka mempelam Cokanan dari Thailand. Jika Thailand boleh menamakan mempelam dengan nama orang yang menghasilkannya, iaitu Mr Chok Anan dan terkenal ke seluruh dunia, kenapa tidak dengan kita?

Paling baru, MADA di Kedah telah melancarkan variati beras tempatan terbaru dan diberi nama "Kedah Rice". Kenapa "Kedah Rice" dan tidak seperti sebelum ini yang menggunakan nama Malinja, Mahshuri, Ria, Bahagia dan lain-lain.

Banyak lagi dalil dan hujah untuk dibuktikan namun cukup sekadar memberikan beberapa contoh untuk difikirkan. Apakah betul tangan kanan kita melonjak atau menjulang martabat Bahasa Melayu tetapi dalam waktu yang sama, tangan kiri meruntuhkan?


3 ulasan:

DukeOfUMNO berkata...

Salam Cucu Tok Derga...

Hehehhe...tak perasan pulak blog hang ni...hehehe...dah establish dah...syabas! Teruskan penulisan tuan...

Pasai Afgo bank tu...hehehhe..dia rasa nama tu ada nilai commercial kot? Hehhehe...rasanya lepaih ni...ramai la paklong2, pakngah, paktam tak pi bank pertanian tu...bukan apa...nak sebut nama bank tu pun tergagap2...heheh...especially yg dok pangkah PAS tu...hehehhe...takpalah....apa2 aje lah!

p/s: samad said tak mau buat demo ka utk bantah nama bank ni? hehehhehe...

Cucu Tok Derga berkata...

Terima kaksih DukeofUMNO!

Blog saya ini biasa saya. Blog picisan. Ditulis oleh orang biasa. Cuma ingin meluah pandangan dan pendapat walaupun saya tahu tidak dibaca oleh mereka yang berkenan.

Unknown berkata...

Konsep 'biar papa asal bergaya' masih berlumut dihati dan sikap. Walaupun konsep memandang ke timur yg dilagangkan oleh TDM tapi jati diri asas orang jepun tak dipandang. Jepun tak de lah pula terhegeh-hegeh nak gunakan bahasa asing seperti toyota, honda dan banyak lagi. Namun maju dan berjaya hingga kini. Adakah disini silap kita? Contoh: Dok elok2 Univ. Pertanian Malaysia ditukat ke Univ. Putra Malaysia. Kan hilang jati diri asal tu... Wal hal prestasi tak kemana pun. Adakah aku tersilap ? Boleh betulkan tapi biarlah dgn bahasa yg sesuai. TQ

Catat Ulasan

Bersopan santun budaya kita!
Terima kasih atas kesudian membuat ulasan. Kalau ada kelapangan, berkunjunglah lagi ke blok saya.